Ahet Memandu Hampir 20 Jam, Isi Minyak RM800 Untuk Menyaksikan Derbi Borneo Di Stadium Likas

October 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Seringkali didengari penyokong sesebuah kelab bola sepak sanggup melakukan apa sahaja demi menyaksikan pasukan kesayangannya. Ini termasuk menempuh perjalanan jauh dan mengeluarkan belanja bagi memberikan sokongan kepada pasukan kegemarannya. 

Itu yang dilakukan oleh Ahet Jenis, 66 tahun, bagi menyaksikan Kuching City FC berentap dengan Sabah FC dalam derbi Borneo di Stadium Likas, pada Sabtu lalu. 

Beliau sanggup menempuh perjalanan panjang dengan memandu hampir 20 jam termasuk melintasi sempadan negara jiran tetangga, Brunei Darussalam, bermula hari Jumaat, bermalam di Miri sebelum menyambung perjalanan pada pagi Sabtu ke Kota Kinabalu. 

“Kalau ikut kiraan, lebih kurang 12 jam dari Kuching ke Miri, dan dari Miri ke Kota Kinabalu pula sekitar lapan ke sembilan jam.”

“Bila bercakap mengenai kos pula, minyak saja lebih kurang RM800, belum termasuk hotel dan makan. Tapi semua itu tidak penting, janji dapat tengok Kuching (City) menang depan mata,” jelasnya sambil tersenyum.

Ahet turut memaklumkan perjalanan jauh itu turut ditemani oleh tiga lagi ahli keluarganya.

Sebagai peminat setia, ianya merupakan satu kepuasan dapat melibat sendiri pasukan kesayangan terutamanya di tempat lawan. 

Ahet turut tersenyum puas apabila perseteruan itu turut berpihak kepada Kuching City apabila jaringan tunggal perlawanan oleh Jordan Mintah pada babak kedua menerjah ke dalam gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.  

“Perasaan memang gembira kerana dapat saksikan sendiri Kuching (City) menentang Sabah. Sebagai peminat, itu satu kepuasan yang tak boleh digambarkan.” 

“Saya peminat bola sepak dari dulu, jadi berapa pun modal, yang penting saya gembira dapat jadi penyokong setia Kuching (City),” ujar Ahet penuh bangga.

Kemenangan 1-0 ke atas kepada Sabah FC itu mengekalkan Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak di tangga keempat Liga Super dengan kutipan 13 mata selepas mengharungi enam perlawanan musim 2025-2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd