Terbuka Artik: Hon Jian-Haikal Kejutkan Beregu No.3 China
Hafiz Omar

Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri yang berada di tangga ke-39 dunia melakukan kejutan dengan menumbangkan beregu lelaki No.3 dari China ketika turun beraksi di pusingan 32 Terbuka Artik 2025.
Biarpun bertemu dengan Huang Di dan Liu Yang buat julung kalinya di kejohanan antarabangsa, Hon Jian-Haikal berhasil menjelmakan prestasi yang memberangsangkan sekaligus melakar kemenangan dua set berturut-turut menerusi skor 23-21 dan 22-20 dalam masa 50 minit.
Hasil kemenangan itu membolehkan Hon Jian-Haikal mengesahkan tempat ke pusingan 16 bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 500 berkenaan.
Bagi aksi berikutnya, Hon Jian-Haikal akan menantikan cabaran daripada beregu Perancis yang menduduki tangga ke-35 dunia, Eloi Adam dan Leo Rossi untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Sebagai rekod, kedua-dua pasangan ini belum pernah berentap dalam mana-mana kejohanan setakat ini.
Featured Image: BAM