Malaysia Huni Tangga 119 Dunia, Pintas Indonesia Selepas Tundukkan Laos
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski merekodkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia selepas menumpaskan Laos pada aksi ketiga, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Kemenangan 3-0 ke atas Laos yang menduduki ranking ke-185 dunia itu memberikan pertambahan 6.77 mata dan membolehkan Malaysia mengumpul 1155.01 mata.
Jumlah pungutan mata itu telah melonjakkan kedudukan Malaysia sebanyak empat anak tangga berbanding kedudukan semasa dan meletakkan mereka secara tidak rasmi di tangga ke-119 dunia.
Posisi itu juga menyaksikan Malaysia memintas kedudukan skuad negara jiran tetangga, Indonesia yang jatuh satu anak tangga berbanding kedudukan semasa dan menghuni ranking ke-120 dunia.
Skuad berjulukan Garuda bimbingan Patrick Kluivert itu mengalami kejatuhan berikutan hilang 6.68 mata selepas tewas 2-3 di tangan Arab Saudi dalam aksi pertama Kumpulan B, pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, ini merupakan kedudukan tidak rasmi dan kemaskini rasmi Ranking Dunia oleh FIFA dijadualkan pada 23hb Oktober kelak.
Featured Image: Malaysia NT