Cape Verde Yang Diuji Malaysia Lakar Sejarah Layak Ke Piala Dunia 2026
Hafiz Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-70, Cape Verde mencipta sejarah melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA buat julung kalinya setelah menumpaskan Eswatini 3-0 pusingan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Kemenangan bergaya itu dicetak hasil jaringan Dailon Livramento (48’), Willy Semedo (54’) dan Stopira (90+1’) membolehkan Cape Verde mengumpul 23 mata daripada sepuluh perlawanan.
Pungutan mata itu ternyata tidak dapat dipintas lagi oleh pencabar terdekatnya, Cameroon, sekaligus mengesahkan Cape Verde selaku juara Kumpulan D dan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun hadapan.
Kejayaan Cape Verde mengesahkan tempat ke Piala Dunia itu turut mendapat ucapan tahniah daripada Presiden FIFA, Gianni Infantino disampaikan menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasminya.
Untuk pengetahuan semua, Cape Verde menjadi pasukan ketiga yang akan membuat penampilan pertama di Piala Dunia selain Jordan dan Uzbekistan.
Sementara itu, Maghribi, Tunisia, Mesir, Algeria dan Ghana menjadi lima lagi pasukan dari benua afrika yang meraih tiket ke Piala Dunia selepas mengesahkan status sebagai juara Kumpulan E, H, A, G dan I masing-masing.
Secara keseluruhannya, sebanyak 22 pasukan termasuk Cape Verde telah mendapat tiket ke saingan Piala Dunia 2026. Seperti ramai ketahui, pusingan akhir Piala Dunia kali ini menyediakan 48 tempat untuk direbut pasukan-pasukan dari seluruh dunia.
Pada penghujung Mei dan awal Jun lalu, skuad Cape Verde ini telah bertandang ke Kuala Lumpur dan menguji Malaysia bimbingan Peter Cklamovski dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

Featured Image: FIFA World Cup