Terbuka Silicon Valley: Sivasangari Melangkah Ke Separuh Akhir

October 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam berhasil melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Silicon Valley 2025 yang berlangsung di Redwood City, Amerika Syarikat.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, Sivasangari mencetak kemaraan terbabit selepas mengetepikan cabaran pemain tuan rumah yang berada di ranking kesembilan dunia, Amanda Sobhy pada peringkat suku akhir, hari ini.

Kemenangan itu dicapai setelah Siavasangari mengharungi empat set permainan yang berlangsung sengit sebelum mengakhirinya dengan pungutan mata 12-10, 12-10, 8-11 dan 11-6 dalam masa 48 minit.

Kemaraan itu membawa pemain kelahiran Kedah itu bertemu perseorangan wanita Mesir yang menghuni tangga ke-15 dunia, Salma Hany.

Sebagai rekod, Sivasangari pernah bertemu Salma sebanyak tiga kali setakat ini. Bagaimanapun, Salma mendominasi rekod itu dengan melakar dua kemenangan daripada tiga pertemuan.

Terdahulu Salma mara ke peringkat yang sama susulan mengejutkan wakil Jepun yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, Satomi Watanabe dengan keputusan 11-13, 11-8, 11-9 dan 11-8. 

Featured Image: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd