Terbuka Denmark: Soon Huat-Shevon Mara Ke Pusingan 16

October 14, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran negara merangkap pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menjadi wakil pertama dari Malaysia yang menempah tiket ke pusingan 16 di Terbuka Denmark 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.

Soon Huat-Shevon yang kini berada di ranking kesembilan dunia mencetak kemaraan itu selepas menumpaskan beregu Chinese Taipei, Lu Ming Che dan Hung En-Tzu pada aksi permulaannya di pusingan 32, petang tadi.

Dalam pertemuan itu, Soon Huat-Shevon melakar kemenangan bergaya ke atas pasangan No.26 dunia terbabit menerusi skor 21-14 dan 21-17 dalam masa 28 minit sahaja.

Pada masa yang sama, keputusan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon mendahului rekod pertemuan ke atas Ming Che-En Tzu dengan dua kemenangan berturut-turut daripada dua pertemuan di kejohanan antarabangsa setakat ini.

Di peringkat seterusnya, lawan buat Soon Huat-Shevon belum dapat ditentukan lagi. Namun, mereka akan berhadapan samada beregu Denmark yang berada di ranking ke-10 dunia, Jesper Toft dan Amalie Madelund atau beregu Jepun yang berada di ranking ke-20 dunia, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara.

Featured Image: Facebook VICTOR

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd