Kelayakan Piala Asia: Malaysia Lakar Kemenangan Keempat Dalam Kumpulan F
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan meneruskan rentak kemenangannya dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 dengan menumpaskan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada hari ini.
Bagaimanapun, Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila bolos seawal minit ke-19 menerusi satu rembatan deras daripada Chanthavixay Khounthoumphone dan kedudukan 0-1 berkekalan sehingga rehat separuh masa.
Namun begitu, anak-anak buah Peter Cklamovski bangkit pada babak kedua dan mula meraih jaringan penyamaan menerusi Faisal Halim (59’) diikuti dengan gol berganda daripada Romel Morales (65’, 70’) serta satu jaringan sendiri oleh Khammanh Thapeseut (79’).
Pesta gol Malaysia ditutupi oleh jaringan pemain gantian, Paulo Josue yang menerjah ke dalam gawang kira-kira lapan minit sebelum masa sebenar berakhir.
Hasil kemenangan ini, Malaysia semakin selesa mengungguli Kumpulan F dengan kutipan 12 mata diikuti oleh Vietnam di tangga kedua yang mempunyai sembilan mata.
Perlawanan seterusnya, Malaysia akan berhadapan dengan Nepal pada 18hb November bagi aksi kelima peringkat Kumpulan F.