Malaysia Duduk Di Tangga Ke-118 Dunia Selepas Bantai Laos
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya secara tidak rasminya berada di tangga ke-118 dalam Ranking Dunia selepas membenam Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada malam tadi.
Kemenangan 5-1 ke atas anak-anak buah Ha Hyeok-jun itu dijelmakan menerusi jaringan oleh Faisal Halim (59’), Romel Morales (65’, 70’), Khammah Thapeseut (79’) dan Paulo Josue (82’).
Sementara itu, jaringan tunggal Laos pula disumbangkan menerusi Chanthavixay Khounthoumphone yang merembat masuk bola ke dalam gawang melepas Syihan Hazmi pada minit ke-19.
Keputusan itu memberikan tambahan sebanyak 6.52 mata kepada Malaysia menjadikan skuad bimbingan Peter Cklamovski itu mengumpul 1,161.53 mata secara keseluruhan dan menempatkannya di tangga ke-118 dunia.
Manakala Laos pula yang hilang 6.52 mata daripada aksi semalam secara tidak rasminya berada di tangga ke-188 dunia – jatuh tiga anak tangga berbanding kedudukan semasanya.
Kedudukan rasmi Malaysia akan diketahui pada 23hb Oktober sebaik sahaja Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan kemaskini rasminya terhadap Ranking Dunia pada tarikh berkenaan.