Terbuka Denmark: Tang Jie-Ee Wei Langkah Kanan
Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei langkah kanan di Terbuka Denmark 2025 susulan mengatasi cabaran Yang Po-Hsuan dan Hu Ling Fang di pusingan 32 dengan mudah.
Juara dunia itu meneruskan langkah ke pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 berkenaan selepas mencatatkan kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-15 dan 21-9 dalam masa 32 minit, sebentar tadi.
Keputusan itu turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei kini mendahului rekod pertemuan dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan lawan yang sama di Terbuka Taipei 2023.
Di pusingan seterusnya, Tang JIe-Ee Wei, turut diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, bakal bertembung dengan beregu China yang berada di ranking ke-22 dunia, Gao Jia Xuan dan Wu Meng Ying.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung pada Khamis itu nanti bakal menjadi yang pertama bagi kedua-dua pasangan.
Terdahulu, Jia Xua-Meng Ying mara selepas mengatasi wakil Thailand, Phuwanat Horbanluekit dan Benyapa Aimsaard menerusi tiga set permainan berskor 21-12, 13-21 dan 21-17.
Featured Image: BAM