Terbuka Denmark: Azriyn-Wee Kiong Mara, Hon Jian-Haikal Kandas
Hafiz Omar

Dua nasib yang berbeza menimpa beregu lelaki negara yang beraksi pada hari pertama Terbuka Denmark 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.
Gandingan yang bergerak secara bersendirian (independent), Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong berhasil meneruskan langkah ke pusingan 16 selepas mengatasi cabaran wakil China, Xie Haonan dan Zeng Wei Han menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam masa 40 minit.
Kemenangan itu membawanya bertemu pilihan pertama kejohanan dari Republik Korea, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae. Mereka yang merupakan pasangan No.1 dunia mara selepas menundukkan William Kryger Boe dan Christian Faust Kjær menerusi skor 21-11 dan 21-11.
Berbeza pula nasib yang menimpa pasangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas beraksi satu perlawanan sahaja.
Hon Jian-Haikal ketika turun beraksi di pusingan 32 gagal menjinakkan beregu China yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Liang Wei Keng dan Wang Chang.
Dalam aksi terbabit, mereka tewas menerusi tiga set permainan menerusi skor 19-21, 21-18 dan 15-21.
Featured Image: Apacs Sports