Terbuka Silicon Valley: Sivasangari Jejak Pentas Akhir Sulung Musim 2025-2026
Hafiz Omar

Hanya selangkah sahaja lagi yang memisahkan perseorangan skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam untuk meraih gelaran juara Terbuka Silicon Valley 2025.
Pemain kelahiran negeri Kedah yang berusia 26 tahun itu menempah tiket ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf “Gold” dalam siri Jelajah Skuasy PSA selepas menundukkan Salma Hany pada peringkat separuh akhir, sebentar tadi.
Ianya juga merupakan penampilan di perlawanan akhir yang pertama buat Sivasangari dalam Jelajah Skuasy PSA musim 2025-2026.
Dalam pertarungan tersebut, Sivasangari bukan sahaja beraksi cemerlang ketika berhadapan Salma bahkan melakar kemenangan bergaya, menang tiga set berturut-turut, menerusi skor 11-3, 11-9 dan 11-5 dalam masa hanya 22 minit.
Keputusan itu menjadikan Sivasangari menjarakkan lagi rekod pertemuan dengan pemain yang menduduki ranking ke-15 dunia terbabit dengan tiga kemenangan daripada empat pertarungan di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, Sivasangari akan merebut gelaran juara Terbuka Silicon Valley 2025 dengan pemain No.1 Amerika Syarikat, Olivia Weaver,
Untuk makluman, Olivia yang juga juara bertahan mara selepas menumpaskan pemain British, Georgina Kennedy menerusi skor 11-5, 11-3 dan 11-4 dalam masa 27 minit.
Berdasarkan rekod, Sivasangari dan Wevaer pernah bertembung sebanyak lapan kali setakat ini namun tujuh daripada pertemuan itu berpihak kepada lawannya yang juga penghuni ranking kelima dunia.
Featured Image: PSA Squash Tour