Cristiano Ronaldo Muncul Penjaring Terbanyak Kelayakan Piala Dunia Sepanjang Zaman
Hafiz Omar

Penyerang senior skuad kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo menempa satu lagi sejarah baharu dalam kariernya ketika turun beraksi dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Nama pemain berusia 40 tahun itu kini muncul sebagai penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala Dunia sepanjang zaman hasil mencetak dua gol ketika bertemu Hungary pada aksi keempat peringkat Kumpulan F di Stadium Jose Alvalade.
Jaringan pertamanya muncul pada 22’ sementara satu lagi jaringan disumbatnya sebelum berakhirnya separuh masa pertama, 45+3’.
Kedua-dua gol itu membolehkannya mengumpul 41 gol dalam pusingan kelayakan Piala Dunia sekaligus memintas catatan gol yang dikumpul oleh pemegang rekod sebelumnya, Carlos Ruiz (Guatemala) – 39 gol.
Bagaimanapun, dua jaringan itu tidak dapat membantu Portugal melakar kemenangan mutlak memandangkan Portugal bolos saat-saat akhir permainan berikutan jaringan penyamaan oleh Dominik Szoboszlai pada 90+1’.
Biarpun seri 2-2 dan mengutip satu mata, Portugal tetap mengungguli carta Kumpulan F dengan kutipan 10 mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Sementara itu, dua jaringan itu juga menyaksikan Ronaldo kini mengumpul 948 gol sepanjang karier bola sepaknya.
Carta Penjaring Terbanyak Kelayakan Piala Dunia Sepanjang Zaman:
- Cristiano Ronaldo – 41 gol
- Carlos Ruiz – 39 gol
- Lionel Messi – 36 gol
- Ali Daei – 35 gol
- Robert Lewandowski – 33 gol
- Sardar Azmoun – 29 gol
- Chris Wood – 29 gol
- Edin Dzeko – 29 gol
- Luis Suarez – 29 gol
- Karim Bagheri – 28 gol
Featured Image: Seleções de Portugal