Sivasangari Akhiri Terbuka Silicon Valley Selaku Naib Juara

October 16, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam menamatkan kempen Terbuka Silicon Valley 2025 selaku naib juara selepas tewas perlawanan akhir bertemu Olivia Weaver, sebentar tadi.

Pertarungan kesembilan di kejohanan antarabangsa melibatkan Sivasangari dan Weaver itu berlangsung selama 47 minit sebelum pemain No.1 Amerika Syarikat itu menoktahkannya dengan skor 12-10, 4-11, 11-4 dan 11-4.

Keputusan itu menyaksikan Weaver turut mempertahankan kejohanan yang dimenanginya pada edisi lalu selain mengesahkan gelaran kesebelas dalam siri Jelajah Skuasy PSA sepanjang kariernya.

Untuk makluman, ini merupakan kejohanan kedua disertai oleh Weaver bagi musim 2025-2026 dan gelaran itu juga hadir selepas Weaver mengalami kecederaan otot paha pada bulan lalu.

Bagi Sivasangari pula, ini merupakan gelaran naib juara pertama diraihnya bagi musim ini selepas beraksi empat kejohanan Jelajah Skuasy PSA 2025-2026.

Untuk kejohanan seterusnya, Sivasangari akan beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat 2025 – kejohanan bertaraf “platinum” – berlangsung dari 19hb hingga 25hb Oktober di Philadelphia.

Anak kelahiran negeri Kedah itu akan memulakan kempen berkenaan dengan bertemu pemain Mesir yang menduduki ranking ke-31 dunia, Kenzy Ayman.

Featured Image: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd