Terbuka Denmark: Azriyn-Wee Kiong Kejutkan Beregu No.1 Dunia

October 16, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki No.1 dunia dari Republik Korea, Kim Won Ho dan Seong Seung Jae tersingkir daripada Terbuka Denmark 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.

Ianya gara-gara Won Ho-Seung Jae tewas mengejut di tangan beregu lelaki Malaysia yang bergerak secara bersendirian (independent), Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong di pusingan 16, sebentar tadi.

Bertambah mengejutkan, pasangan yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF pada hujung Ogos lalu itu tewas secara dua set berturut-turut menerusi skor 19-21 dan 14-21 dalam masa 36 minit di tangan Azriyn-Wee Kiong.

Sementara itu, Azriyn-Wee Kiong, beregu lelaki No.5 Malaysia, yang melakar kemenangan dapat menempah tiket ke peringkat suku akhir.

Lawan mereka masih belum ditentukan ketika laporan ini ditulis. Namun begitu, Azriyn-Wee Kiong akan berhadapan samada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Featured Image: APACS 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd