Terbuka Denmark: Pearly-Thinaah Kecundang Bertemu Shida & Pasangan Baharunya
Hafiz Omar

Beregu badminton No.2 dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa akur menoktahkan kempennya setakat pusingan 16 di Terbuka Denmark 2025.
Ianya susulan gandingan pemain berusia 25 dan 27 tahun masing-masing itu tewas di tangan wakil Jepun, Chiharu Shida yang membentuk gandingan baharu bersama Arisa Igarashi.
Dalam pertarungan tersebut, Pearly-Thinaah tewas di tangan pasangan yang bergandingan sejak Terbuka Hong Kong pada September lalu secara dua set berturut-turut menerusi skor 18-21 dan 9-21 dalam masa 35 minit.
Berikutan keputusan itu, tiket kemaraan ke peringkat suku akhir menjadi milik Igarashi-Shida.
Lawan mereka di peringkat tersebut belum dimuktamadkan ketika laporan ini ditulis. Namun begitu, mereka akan bertembung samada beregu China merangkap pemenang emas Sukan Olimpik, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan atau pasangan Chinese Taipei, Hsu Ya Ching dan Sung Yu-Hsuan.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia