Terbuka AS: Pemain No.18 Dunia Kejutkan Sivasangari Di Pusingan Kedua

October 21, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam terpaksa akur tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2025 – salah satu kejohanan skuasy bertaraf platinum dalam siri Jelajah Skuasy PSA 2025-2026.

Penyingkiran itu terjadi susulan Sivasangari yang baru sahaja menjejakkan kaki di tangga keenam dalam Ranking Dunia tewas mengejut di tangan Sana Ibrahim – pemain Mesir berusia 22 tahun yang menghuni ranking ke-18 dunia.

Dalam pertembungan yang berlangsung selama 64 minit itu, Sivasangari tewas menerusi empat set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-13, 12-10, 9-11 dan 10-12 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Arlen Specter, Philadelphia.

Keputusan itu menyaksikan Sivasangari tewas buat julung kalinya selepas merekodkan kemenangan berturut-turut dalam lima pertemuan dengan Sana sejak tahun 2021.

Hasil daripada kemenangan itu, Sana meraih tiket ke peringkat suku akhir dan menemukannya dengan juara Terbuka Silicon Valley merangkap pemain wanita No.1 AS iaitu Olivia Weaver.

Sementara itu, penyingkiran Sivasangari itu menjadikan penglibatan pemai-pemain wanita negara di Terbuka AS itu menemui titik noktahnya selepas Rachel Arnold dan Aifa Azman tewas pada pusingan pertama.

Featured Image: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd