Ranking BWF: Wei Chong-Kai Wun Kini 5 Terbaik Dunia

October 21, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun kini berada dalam kelompok lima beregu terbaik dunia.

Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia yang menyaksikan gandingan itu merekodkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga.

Peningkatan itu sekaligus menempatkan mereka di tangga kelima dunia – kedudukan tertinggi setakat ini – hasil mengumpul 74,763 mata sumbangan daripada sepuluh kejohanan terbaik yang disertai dalam 52 minggu yang lalu.

Sementara itu, kedudukan sepuluh beregu lelaki terbaik dunia mengalami sedikit perubahan dengan Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty dari India turut meningkat – kini di kedudukan ketiga dunia.

Gandingan pemain negara yang bergerak secara sendirian (independent), Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mengalami kejatuhan sebanyak satu anak tangga dan kini berada di tangga keempat dunia.

Bekas beregu lelaki No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang dilihat turun dua anak tangga dan kini berada di kedudukan No.6 dunia.

Manakala sepasang lagi bekas beregu lelaki No.1 dunia, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen pula jatuh tiga anak tangga – kini di kedudukan kelapan dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd