Viktor Gyökeres Akhiri Kemarau Gol, Arsenal Benam Atletico Madrid 4-0
Hafiz Omar

Kemarau jaringan yang dialami Viktor Gyökeres dalam tujuh perlawanan menemui titik noktahnya apabila penyerang berusia 27 tahun berkenaan menjaringkan dua gol ketika bertemu Atletico Madrid dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA (UCL), pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Jaringan pertamanya muncul pada minit ke-67 apabila percubaan jarak dekatnya terkena pertahanan David Hancko dan meleret masuk ke dalam gawang tatkala penjaga gol Jan Oblak keliru dan merebahkan badannya ke arah yang berlawanan.
Selang tiga minit kemudian, Gyökeres mencetak jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan itu dengan menyambar tandukan lintang oleh Gabriel Magalhães hasil sepakan sudut oleh Declan Rice.
Sebelum itu, Arsenal bimbingan Mikel Arteta telah mendahului 2-0 hasil jaringan Magalhães dan Gabriel Martinelli yang menerjah ke dalam gawang pada minit ke-57 dan ke-64.
Kemenangan bergaya 4-0 itu meletakkan Arsenal menghuni tiga tangga teratas peringkat kumpulan bersama-sama Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Milan yang merekodkan tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.
Untuk makluman, Gyökeres yang dibeli oleh Arsenal dari Sporting Lisbon mengundang sedikit polemik dalam kalangan penyokong The Gunners apabila rentak jaringan terhenti selepas menjaringkan satu gol ketika bertemu Nottingham Forest dan dua gol ketika turun menentang Leeds United dalam saingan Premier League.
Penyerang Sweden itu tiba di Stadium Emirates dengan reputasi dan statistik yang mengagumkan bersama Sporting Lisbon – meledak 97 gol dan mencetak 28 bantuan daripada 102 penampilan sepanjang dua musim bersama kelab dari Portugal berkenaan.
Featured Image: Arsenal