Ryt Bank Kini Rakan Perbankan Digital Rasmi & Rakan Teknologi VAR Liga Malaysia
Hafiz Omar

Bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), Ryt Bank kini secara rasmi menjadi Rakan Perbankan Digital Rasmi dan Rakan Rasmi Teknologi VAR Liga Malaysia.
Perkembangan itu hadir susulan Ryt Bank dan Malaysian Football League (MFL) tampil membentuk kerjasama strategik serta berkolaborasi secara rasmi bagi memacu Liga Malaysia melangkah bersama-sama ke hadapan.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Ryt Bank sebagai sebahagian daripada keluarga MFL. Perkongsian ini mencerminkan arah baharu Liga Malaysia – yang lebih moden, profesional dan berpaksikan inovasi. Kami juga percaya melalui Kerjasama strategik bersama Ryt Bank ini, ia memberi mesej jelas bahawa Liga Malaysia terus menjadi destinasi buat syarikat-syarikat korporat dalam membina dan mendekatkan jenama mereka dengan rakyat Malaysia.”
“Kerjasama ini turut menyuntik semangat baharu MFL sebagai pengelola liga bola sepak profesional negara untuk mengukuhkan lagi tahap pengurusan dan daya saing Liga Malaysia agar dapat menarik minat lebih banyak penyertaan syarikat korporat dalam menyokong pembangunan bola sepak tanah air khususnya Liga Malaysia.” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menerusi satu siaran media, pada hari ini.
Kerjasama ini menyaksikan pelbagai aktiviti menarik akan diadakan di stadium terpilih sepanjang perlawanan tertentu bagi mendekatkan lagi hubungan Ryt Bank dengan penyokong tempatan disamping memberikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengenai perbankan digital.
Sementara itu, Ryt Bank melahirkan perasaan bangga dapat menyokong komuniti sukan terbesar negara sekaligus meraikan semangat dan kebanggaan nasional.
“Bola sepak menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Semangat ini seiring dengan aspirasi Ryt Bank untuk menjadikan teknologi kewangan lebih inklusif dan bermakna.”
“Sebagai rakan teknologi VAR rasmi, kami berbangga dapat menyokong ketelusan dan keadilan dalam sukan yang paling dekat di hati rakyat.”
“Kerjasama ini membuktikan bahawa apabila teknologi dan semangat rakyat bergabung, kita semua mampu untuk buat perkara yang betul (do the Ryt thing) — untuk sukan, untuk negara.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ryt Bank, Melvin Ooi.
Untuk makluman, Ryt Bank menawarkan beberapa produk seperti Ryt AI, simpanan dengan faedah harian yang tinggi, Ryt Card dan Ryt PayLater.
Featured Image: MFL