DPMM FC Semakin Bersemangat – Tommy Mawat Bada

October 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tonggak DPMM FC, Tommy Mawat Bada menegaskan semangat juang pasukannya semakin tinggi menjelang aksi getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). 

Menurut pemain berusia 30 berkenaan, DPMM FC kini semakin bersemangat untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super lebih-lebih lagi selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Melaka FC, baru-baru ini.

Ternyata kemenangan itu bukan sahaja membolehkan mereka mengutip tiga mata bahkan menyuntik keyakinan baharu dalam kalangan pemain kelab bimbingan Jamie McAllister itu.

“Ya, perubahan kedudukan itu amat penting serta telah meningkatkan moral satu pasukan untuk menghadapi perlawanan yang akan datang dan seterusnya. 

“Malah kini, persiapan sejujurnya dalam keadaan yang terbaik untuk pasukan. Prestasi kecergasan serta fokus pemain amatlah penting untuk dijaga sehingga hari ini dan sebelum perlawanan,” ujar Tommy Mawat. 

Walaupun sedar akan cabaran besar menentang juara bertahan Liga Super, Tommy menegaskan DPMM FC tidak akan turun dengan mentaliti menyerah kalah. Baginya, perbezaan status antara pasukan bukan alasan untuk tidak berjuang habis-habisan di atas padang.

“Ya, kami tetap membawa ‘mindset’ yang positif walaupun secara logiknya JDT adalah pasukan besar dalam Liga Malaysia. Tetapi sekiranya semua pemain tetap fokus dan bekerjasama dalam setiap perlawanan, tidak ada yang mustahil,” tegasnya.

Tommy juga percaya bahawa semangat sepasukan dan disiplin taktikal akan menjadi kunci utama untuk DPMM FC memberikan saingan sengit di gelanggang lawan nanti.

Aksi Liga Super minggu kelapan melibatkan JDT dan DPMM akan berlangsung di SSI pada Sabtu dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8.15 malam.

Featured Image: MFL

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd