Sukan SEA: Nafuzi Letak Sasaran Awal, Mara Ke Separuh Akhir
Hafiz Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Nafuzi Zain meletakkan sasaran awal untuk mara ke peringkat separuh akhir di temasya Sukan SEA 2025.
Pada Ahad lalu, hasil undian menyaksikan Malaysia telah diletakkan bersama-sama juara Kejohanan ASEAN B-23, Vietnam serta Laos dalam Kumpulan B.
Jurulatih yang bakal menjengah usia 47 tahun menyifatkan kumpulan terbabit sebagai mencabar berdasarkan status dan pencapaian Vietnam serta barisan pemain yang bakal menganggotai skuad Laos.
“Kita sedar bahawa kita berada dalam kumpulan yang mencabar, terutamanya apabila bakal berdepan dengan Vietnam yang juga merupakan juara Piala ASEAN 2024. Namun, ia bukan alasan untuk menghalang kami memberi komitmen sepenuhnya dalam kejohanan kali ini.
“Kebanyakan pemain Laos juga merupakan sebahagian daripada skuad yang diturunkan ketika menentang Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.” ujarnya menerusi kenyataan dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bekas ketua jurulatih Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC mendedahkan untuk memulakan persiapannya melalui sesi latihan berpusat pada penghujung November.
“Kami berharap dapat menghimpunkan barisan pemain terbaik bagi mewakili negara di temasya Sukan SEA tahun ini,” tambahnya.
Untuk pengetahuan semua. temasya itu dijadualkan berlangsung dari 3hb hingga 18hb Disember di Chiang Mai, Thailand.
Featured Image: Malaysia NT