Liverpool Berpesta Gol, Akhiri Badi Kekalahan
Hafiz Omar

Liverpool FC yang berpangkalan di Merseyside berhasil menamatkan badi kekalahannya apabila mencetak kemenangan bergaya ketika bertemu Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Dalam perlawanan tersebut, anak-anak buah Arne Slot bermula langkah kiri, bolos seawal minit ke-26 menerusi Rasmus Kristensen. Namun begitu, pesta gol Liverpool bermula sebaik sahaja Hugo Ekitike menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35.
Ia disusuli dengan jaringan oleh Virgil van Dijk (39’), Ibrahima Konate (44’), Cody Gakpo (66’) dan Dominik Szoboszlai (70’).
Dalam perlawanan itu juga, Slot merehatkan Mohamed Salah daripada bermula dalam kesebelasa utama dan hanya memasukkannya sebagai pemain gantian pada minit ke-74 – setelah Liverpool mendahului 5-1.
Selain itu, jurulatih Belanda itu turut memulakan Ekitike, Jeremie Frimpong, Andy Robertson, Curtis Jones dan Florian Wirtz dalam kesebelasan utama.
Sebelum bermulanya aksi di Waldstadion itu, Liverpool turun dengan badi tewas dalam empat perlawanan berturut-turut bertemu Crystal Palace, Galatasaray, Chelsea dan Manchester United.
Pada saat ini, Liverpool menghuni tangga kesepuluh dalam carta Fasa Liga UCL hasil mencetak dua kemenangan daripada tiga perlawanan musim 2025-2026.
Featured Image: Liverpool FC