Terbuka Perancis: Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi Rebut Tiket Suku Akhir

October 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan bertembung sesama sendiri untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis 2025.

Pertembungan itu terhasil berikutan Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan 32 sekaligus bertembung di pusingan 16.

Aaron-Wooi Yik yang turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan mara selepas menundukkan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-15 dan 26-24.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi pula melangkah ke pusingan 16 hasil menumbangkan beregu India, Pruthvi Krishnamurthy Roy dan Sai Pratheek juga secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-18 dan 21-13.

Melihat kepada rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi pernah bertarung sebanyak sembilan kali di pelbagai kejohanan antarabangsa setakat ini.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik mengungguli rekod pertemuan itu dengan enam kemenangan berbanding tiga kemenangan sahaja dilakar oleh Yew Sin-Ee Yi.

Pertemuan kesepuluh melibatkan kedua–dua beregu ini dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 pagi, awal pagi Jumaat.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd