Thailand Lantik Anthony Hudson Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

October 23, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kekosongan kerusi ketua jurulatih skuad bola sepak Thailand akan diisi buat sementara waktu oleh Anthony Hudson – bekas pengendali skuad kebangsaan Bahrain, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Perkembangan itu hadir selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsan mengumumkan pelantikan Hudson, 44 tahun, selaku ketua jurulatih sementara bagi skuad Gajah Perang – sehari selepas berpisah dengan ketua jurulatih lamanya, Masatda Ishii.

Nualphan atau terkenal dengan panggilan Madam Pang percaya Hudson yang juga Pengarah Teknikal FAT merupakan individu yang tepat untuk jawatan itu pada saat ini.

“Hudson telah terlibat dengan bola sepak Thailand di pelbagai peringkat dengan mendalam, dengan pengalaman luas dalam pengurusan kelab dan bola sepak antarabangsa, telah berkhidmat sebagai ketua jurulatih Amerika Syarikat, New Zealand dan Bahrain.” katanya menerusi satu hantaran di akaun media sosial peribadinya.

Ketika ini, skuad kebangsaan Thailand tidak mempunyai sebarang kejohanan untuk dihadapai melainkan baki dua perlawanan dalam kelayakan Piala Asia 2027.

“Sasaran kita kekal untuk layak ke pusingan akhir (Piala Asia AFC 2027) di Arab Saudi.” tambahnya.

Thailand kini di tangga kedua Kumpulan D – di bawah Turkmenistan – namun berkongsi sembilan mata dengan pendahulu hasil daripada merekodkan tiga kemenangan dan satu kekekalahan.

Featured Image: Changsuek

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd