PM Anwar Sahkan Gianni Infantino Hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
Hafiz Omar

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino akan menjejakkan kaki di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung pada 26hb hingga 28hb Oktober.
Kehadiran presiden bagi badan induk bola sepak dunia itu disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan yang meminta penjelasan mengenai pemimpin negara dan wakil pertubuhan antarabangsa yang akan menghadiri sidang berkenaan.
“(Presiden) Bank Dunia, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3, Majlis Perniagaan Asia Timur dan Sekretariat Kerjasama Trilateral, ini selain daripada wakil yang menyertai tetapi tidak sebahagian daripada ASEAN,”
“(Ini) termasuk Ketua Pengarah ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) dan juga Presiden FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), bola yang tak akan dibincang dalam mesyuarat ASEAN,” jawabnya bagi menjawab soalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari.
Antara lain, Anwar turut memaklumkan sidang kemuncak itu akan dihadiri pemimpin utama bagi Australia, China, Menteri Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, Amerika Syarikat, Brazil, Kanada, Afrika Selatan, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain daripada kesemua Ketua-Ketua Negara ASEAN termasuk Timor Leste.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan kehadiran Infantino itu bertujuan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak ASEAN serta melawat tapak pembinaan Pusat Latihan Pusat (NTC) di Putrajaya.
Sebagai rekod, Infantino pernah beberapa kali melawat ke Malaysia termasuk menghadiri pelancaran Peta Hala Tuju F:30 pada November 2018 mengadakan kunjungan hormat terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada April 2019.
Featured Image: Football Association of Malaysia