Rekod Soon Huat-Shevon vs Yan Zhe-Dong Ping
Hafiz Omar

Beregu badminton campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai akan membuat perhitungan dengan Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping dari China untuk merebut tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2025.
Melihat kepada rekod, Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri pernah berentap dengan Yan Zhe-Dong Ping sebanyak dua kali setakat ini – Terbuka China 2024 dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2024.
Bagaimanapun, kedua-dua pertemuan itu menyaksikan kemenangan tidak berpihak dengan Soon Huat-Shevon dimana mereka mengalami kekalahan menerusi skor 21-16, 14-21 dan 17-21 serta 12-21 dan 5-21 masing-masing.
Soon Huat-Shevon boleh menjadikan pertemuan di Terbuka Perancis kali ini sebagai medan untuk membuat kejutan serta melakar kemenangan sulung bertemu Yan Zhe-Dong Ping di pentas antarabangsa.
Sebelum itu, Soon Huat-Shevon berhasil menempatkan diri dalam kelompok lapan beregu campuran terbaik di kejohanan ini susulan mengalahkan wakil Scotland, Alexander Dunn dan Julie MacPherson di pusingan 16 menerusi skor 21-13 dan 21-10 dalam masa 27 minit.
Sementara itu, Yan Zhe-Dong Ping pula mara ke peringkat yang sama dengan mengalahkan beregu Thailand, Pakkapon Teeraratsakul dan Sapsiree Taerattanachai menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-5, 21-23 dan 21-12 dalam masa 59 minit.
Featured Image: BAM