Pihak Pengurusan TFC Arah Badrul Afzan Baiki Prestasi Sebelum Dikenakan Tindakan Drastik
Hafiz Omar

Barisan kejurulatihan Terengganu FC (TFC) yang diketuai oleh Badrul Afzan Razali diarahkan untuk memperbaiki prestasi pasukan sebelum tindakan drastik diambil oleh pihak pengurusan kelab.
Dimaklumkan, perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC (Liga Super, 25 Oktober), Kuching City FC (Piala FA, 28 Oktober) dan Johor Darul Ta’zim (31 Oktober, Liga Super) menjadi medan penilaian buat Badrul Afzan dan barisan kejurulatihannya.
Pada masa yang sama, satu rombakan pemain akan dilakukan oleh Badrul Afzan memberi impak bertenaga apabila bertemu skuad berjulukan The Cats pada aksi timbal balik Piala FA, pada Selasa hadapan.
Tindakan ini dilakukan oleh pihak pengurusan selepas mengambil maklum akan kekecewaan para penyokong terhadap prestasi yang tidak konsisten melibatkan TFC akhir-akhir ini termasuk kekalahan 1-4 di tangan Kuching City, pada Sabtu lalu.
“Kekalahan terbaru tempohari sudah tentu bukan sesuatu yang sengaja diinginkan oleh mana-mana pihak samada dari kalangan pemain, barisan kejurulatihan mahupun pihak pengurusan.”
“Antara langkah yang telah diambil oleh pihak pengurusan bersama Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan ialah memanggil Ketua Jurulatih bagi memberikan laporan dan penilaian semula prestasi bagi mengenalpasti kelemahan menjelang aksi timbal balik Piala FA yang akan diadakan di Kuching Selasa ini.” tulis kenyataan yang disiarkan TFC pada hari ini.
Selain tewas pada suku akhir pertama Piala FA, TFC juga mengalami prestasi yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super dengan merekodkan empat kemenangan, satu seri dan dua kekalahan daripada tujuh perlawanan yang diharungi sekaligus mengundang kritikan daripada para penyokong.
Ketika ini, TFC berada di tangga ketiga Liga Super dengan kutipan 13 mata – di bawah Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC.
Featured Image: Terengganu FC