Terbuka Perancis: Juara Dunia Kandas Di Suku Akhir
Hafiz Omar

Pasangan yang menjuarai Kejohanan Dunia BWf 2025, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei nampaknya gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Perancis 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.
Biarpun diletakkan sebagai pilihan keempat, langkah Tang Jie-Ee Wei terhenti di peringkat suku akhir apabila gagal menjinakkan wakil Hong Kong, Tang Chung Man dan Tse Ying Suet, sebentar tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei dikejutkan dengan kekalahan secara dua set berturut-turut menerusi skor 9-21 dan 18-21 dalam masa 37 minit.
Kekalahan itu adalah yang pertama dialami oleh Tang Jie-Ee Wei bertemu Chung Man-Ying Suet selepas mencetak dua kemenangan berturut-turut ketika bertembung di Masters China 2025 dan Terbuka Artik 2023.
Sebagai rekod, ini julung kalinya Tang Jie-Ee Wei gagal melangkah ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan yang disertainya bermula dari Terbuka Macau diikuti dengan Kejohanan Dunia BWF, Masters China dan Terbuka Denmark.
Sementara itu, Chung Man-Ying Suet yang melakar kemenangan pada hari ini meneruskan kempennya ke peringkat separuh dan menantinya di situ adalah beregu China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.
Pasangan yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan itu mara selepas mengetepikan beregu Malaysia, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menerusi skor 21-18 dan 21-16.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia