FAM Umum Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Bebas Siasat Isu Dokumentasi 7 Pemain Keturunan Malaysia
Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini mengumumkan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas yang akan menyiasat isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain berketurunan ‘Malaysia’ yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tujuh pemain yang digantung oleh FIFA tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero – berikutan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram dalam sidang media pada 17hb Oktober lalu, sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan yang mana ia tidak akan membabitkan mana-mana individu daripada FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.
Untuk pengetahuan semua, Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976.
Beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Pada tahun 1994 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya, pada tahun 1996, beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
Di peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memegang peranan sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf. Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.
“FAM berharap Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti.” tambah kenyataan oleh FAM.