Terengganu FC Memeterai Kerjasama Dengan Jenama Pakaian Sukan Dari Indonesia

October 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC (TFC) mengorak satu lagi langkah dengan memeterai satu kerjasama bersama jenama pakaian dan barangan sukan terkenal dari Indonesia iaitu Mills.

Kerjasama itu menyaksikan Mills diumumkan sebagai Kasut Sukan Rasmi bagi TFC untuk musim 2025-2026 sekaligus menyaksikan pelbagai lapisan skuad Hitam Putih akan berpeluang menggunakan kasut keluaran Mills.

Kerjasama itu dimeterai menerusi satu memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai dan Pengarah Pemasaran Mills, Stevendy Tjen. 

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Mills, sebuah jenama yang diyakini oleh atlet di seluruh dunia. Ini sejajar  dengan visi kami untuk memberi fasiliti dan kelengkapan terbaik kepada pemain demi  prestasi optimum.”

“Kehadiran Mills ke dalam keluarga Terengganu FC juga membuktikan jenama TFC itu sendiri mempunyai kekuatan yang mampu menarik  perhatian jenama antarabangsa untuk datang menjalinkan kerjasama. 

“Kami di TFC tidak  hanya memberikan tumpuan kepada skuad utama sahaja tetapi juga kepada skuad  pembangunan dan kerjasama ini sudah pasti membantu kesemua pasukan kami mencipta kejayaan yang lebih baik di dalam padang,” katanya ketika menandatangani memorandum persefahaman di Jakarta.

Sementara itu, Stevendy melihat potensi besar yang ada pada TFC terutamanya ketika beraksi di Piala AFC dan Piala Shopee sekaligus mendorong mereka untuk menjalin kerjasama strategik bersama pasukan yang menghuni tangga keempat Liga Super pada ketika ini.

Mills bukanlah jenama yang asing dalam dunia bola sepak. Mereka cukup dikenali sebagai jenama yang pernah menyediakan persalinan atau kit buat skuad kebangsaan Indonesia.

Selain itu, jenama mereka juga telah memasuki pasaran eropoh dengan menaja kelab Tranmere Rovers dan F.C.V Dender.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd