Tular Gambar Noor Azman Bersama Presiden FIFA – Ini Penjelasan FAM
Hafiz Omar
Pertemuan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino baru-baru ini adalah atas kapasiti peribadinya.
Selain itu, FAM menegaskan Noor Azman yang digantung tugasnya sekitar dua minggu lalu tidak mewakili badan induk bola sepak tanah air atau membawa sebarang urusan rasmi FAM ketika bertemu Infantino.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh FAM melalui Pemangku Presiden, Datuk Wira Mohd. Yusoff Hj. Mahadi menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada pihak media, pada hari ini.

“Untuk makluman, gambar tersebut dirakamkan di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA dan kehadiran Datuk Noor Azman atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM.”
“FAM ingin menegaskan bahawa sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Oktober 2025, Datuk Noor Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM.”
“FAM berharap penjelasan ini dapat memperjelas kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan berkenaan.” kata Yusoff.
Terdahulu, tular foto-foto yang memaparkan Noor Azman bertemu serta bergambar bersama Infantino. Turut bersama bergambar bersamanya adalah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin.
Featured Image: FAM