Litar Drag Bernilai RM2 Juta Akan Dibina Di Sepang Pada Tahun 2026
Hafiz Omar

Daerah Sepang bakal mempunyai sebuah lagi litar apabila sebuah litar drag bernilai RM2 juta bakal memulakan pembinaannya pada tahun hadapan.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli sambil mendedahkan peruntukan itu disediakan sendiri oleh pihak Sepang International Circuit (SIC).
“Memang sekarang kita ada satu perancangan terbaru iaitu masih lagi di Sepang iaitu untuk kita bina atau bangunkan sebuah litar drag di kawasan di Sepang untuk tahun 2026 akan datang dengan anggaran jumlahnya sebanyak RM2 juta diperuntukkan sendiri oleh Sepang International Circuit (SIC) dan jika ianya berjaya dan berhasil kita dapat lihat ianya boleh ‘replicate’ (ditiru) di tempat lain,” kongsinya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bera, YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mempertimbangkan pembinaan litar drag di setiap negeri bagi menyokong sukan permotoran di peringkat akar umbi khususnya melibatkan anak-anak muda.
Ismail turut memaklumkan Kerajaan pada penggal lalu telah mencadangkan dan meluluskan bajet sebanyak RM20 juta bagi peringkat awal untuk membina litar drag di setiap negeri.
Tujuan membina litar drag itu adalah untuk mengelakkan daripada terjebaknya anak-anak muda dengan perlumbaan haram selain daripada melatih mereka untuk menjadi pelumba profesional.
Bagaimanapun, Adam menerangkan cadangan pembinaan setiap litar drag seperti dicadangkan oleh Ismail itu menelan kos antara RM6 juta hingga RM8 juta – merangkumi jalur perlumbaan sepanjang 201 meter atau 402 meter serta kawasan henti 600 meter hingga 800 meter berdasarkan spesifikasi oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
“Ini bagi memastikan keselamatan dalam sukan drag kerana (lumba) drag ini melibatkan pecutan yang (tinggi) dari titik A ke titik B, kita perlukan pastikan ianya boleh dikendalikan dengan selamat,” tambahnya.
“Selain daripada litar semata-mata, kita harus lihat ke hadapan termasuk untuk memastikan fasilitinya cukup, contohnya fasiliti sokongan litar termasuk pusat kawalan, bilik steward, pit dan sebagainya ini akan mengambil belanja RM9 juta ke RM11 juta. Jadi, jumlah keseluruhan yang baik adalah RM15 hingga ke RM20 juta.”
“Maka kalau (candangan) dahulu (sebanyak) RM20 juta kita faham tujuannya adalah bina litar terlebih dahulu yang mungkin lebih sesuai untuk ‘beginners’ (permulaan) bukan untuk yang profesional tetapi kita lihat ini adalah usaha yang perlu kita teliti terlebih dahulu,” katanya lagi.