CEO Kuching City FC Sertai BOD MFL Penggal 2025-2029
Hafiz Omar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan menjadi ahli baharu yang menganggotai Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) bagi penggal 2025-2029.
Iswandi menyertai lembaga itu selepas dipilih oleh perwakilan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-9 yang berlangsung pada hari ini.
Mesyuarat itu juga menyaksikan ahli pada penggal lalu iaitu Dato’ Seri Mohamad Jaifuddin Bujang dan Jeffrey Chew Gim Eam dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang FC masing-masing dipilih semula oleh perwakilan.
Iswandi menyifatkan pemilihannya sebagai ahli BOD MFL yang baharu adalah satu tanggungjawab besar untuk digalas dalam membantu perkembangan liga profesional Malaysia.

“Satu tanggungjawab baharu untuk saya dan saya harap dapat membawa juga suara-suara dari Borneo untuk kita sama-sama cuba menyelesaikan apa jua masalah atau situasi.”
“Dan saya akan cuba yang terbaik untuk menjalankan tugas baharu ini mewakili kelab-kelab yang lain juga demi prestasi saingan Liga Malaysia kita,” ujar Iswandi.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan dihadiri oleh barisan ahli Lembaga Pengarah MFL penggal lalu serta pemangku CEO MFL, Mohd Shazli Shaikh Mohd.
Turut menghadiri mesyuarat terbabit adalah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh, Ahli Jawatankuasa FAM, Tang Chee Hong, Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Dr Sugumaran Parthasarathy serta wakil dari pihak Auditor Grant Thornton Malaysia.
Berikut adalah senarai penuh ahli BOD MFL Penggal 2025-2029:
- Presiden: Dato’ Ab Ghani Hassan
- Wakil FAM: Datuk Saaran Nadarajah
- Wakil FAM: Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
- Wakil FAM: Dato’ Zainal Abidin Hassan
- Wakil Pasukan: Dato’ Seri Mohamad Jaifuddin Bujang (JDT)
- Wakil Pasukan: Jeffrey Chew Gim Eam (Penang FC)
- Wakil Pasukan: Iswandi Ali Hassan (Kucing City FC)