BAM Lantik Chang Kim Wai Sebagai Penolong Jurulatih Beregu Lelaki

October 30, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil mengumumkan pelantikan bekas pemain kebangsaan, Chang Kim Wai sebagai penolong jurulatih beregu lelaki negara berkuatkuasa bermula 4hb November 2025.

Kehadiran bekas pemain kebangsaan berusia 49 tahun adalah untuk membantu ketua jurulatih, Herry Irman Pierngadi serta Muhammad Miftakh sekaligus memperkukuhkan lagi sektor beregu lelaki negara.

BAM dalam kenyataan yang disiarkan menjelaskan peranan Kim Wai adalah membantu perancangan dan pelaksanaan program latihan berprestasi tinggi, tumpuan kepada pembangunan kesedaran taktikal, keserasian gandingan dan prestasi konsisten dalam kalangan beregu terbaik Malaysia dan pelapis Malaysia.

“Satu penghormatan untuk berkhidmat semula buat badminton Malaysia, saya tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan Coach Herry, Coach Miftakh dan para pemain kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar buat negara,” ujar Kim Wai.

Sementara itu, Pengarah Beregu BAM, Rexy Mainaky percaya rekod pencapaiannya yang sudah terbukti dan pemahaman mendalam terhadap permainan beregu menjadikan Kim Wai satu penambahan utuh dalam pasukan di bawah bimbingan Coach Herry. Kami percaya kombinasi ini akan membantu beregu-beregu negara mencapai tahap yang lebih tinggi.

Untuk pengetahuan, semasa bergelar pemain, Kim Wai kelahiran Perak ini pernah merangkul pingat perak Sukan Komanwel 2002, pingat gangsa Sukan Asia 2002 serta merupakan anggota skuad Piala Thomas 2002 yang muncul naib juara.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd