Juventus Lantik Luciano Spalletti Sebagai Ketua Jurulatih – Kontrak Hingga Hujung Jun 2026

October 31, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang menghuni tangga ketujuh Serie A iaitu Juventus melantik Luciano Spalletti sebagai ketua jurulatih baharunya dengan kontrak sehingga 30hb Jun 2026.

Pengumuman lantikan itu dikongsikan secara rasmi di laman sesawang dan pelbagai platform media sosialnya pada Jumaat – lebih empat bulan selepas meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali.

Jurulatih berusia 66 tahun itu bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak Itali. Namun namanya bergema seantero dunia apabila mengemudi Napoli muncul juara Serie A buat julung kalinya selepas 33 tahun, pada musim 2022-23.

Sebelum itu, Spalletti pernah membawa AS Roma muncul juara dua kali berturut-turut Copa Italia pada musim 2006-07 dan 2007-08 serta menjulang Supercoppa Italia pada musim 2007-08 bersama kelab yang sama.

Selain Itali, Spalletti pernah berkelana di Rusia melatih Zenit St. Petersburg dan berhasil merangkul kejuaraan liga, Piala Rusia dan Piala Super Rusia. 

Untuk makluman, khidmat Spalletti disambar Juventus bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Igor Tudor, pada Isnin lalu. 

Tudor diumumkan dilepaskan oleh Juventus bersama tiga penolongnya selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhirnya.

Featured Image: Juventus

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd