Liga Korea Mansuh Kuota Daftar Pemain Import
Hafiz Omar

Kelab-kelab yang beraksi dalam kancah K League 1 dan K League 2 bebas mendaftarkan pemain asing atau import tanpa sebarang had bermula musim hadapan.
Perkembangan ini hadir selepas pengelola bola sepak tempatannya, Korean Professional Football League (K League) mengumumkan memansuhkan kuota pendaftaran pemain asing atau import bagi setiap kelab.
Menurut laporan Yonhap News Agency, keputusan itu dicapai ketika K League dalam mesyuarat lembaga pengarah yang berlangsung pada Khamis.
Ketika ini, kelab-kelab dalam kancah K League 1 boleh mendaftarkan maksimum enam pemain asing tetapi boleh menurunkan empat pemain sahaja di atas padang semasa hari perlawanan.
Bermula musim hadapan pula, kuota pada hari perlawanan pula dinaikkan kepada lima pemain di atas padang.
Beberapa bulan yang lepas, kelab-kelab memohon K League untuk melonggarkan kuota supaya mereka dapat tampil lebih kompetitif dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Sebagai perbandingan, di Malaysia, Malaysian Football League (MFL) menetapkan setiap kelab boleh mendaftarkan maksimum 15 pemain asing atau import.
Di atas padang, setiap kelab boleh menurunkan enam pemain import (4 terbuka, 1 asia dan 1 asean) sementara tiga lagi boleh diletakkan di bangku simpanan.
Featured Image: K League