Salah Cetak Gol Ke-250 Bersama Liverpool

November 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain kelahiran Mesir, Mohamed Salah, 33 tahun, ternyata merupakan seorang penyerang prolifik dan kini merekodkan 250 gol sejak menyertai Liverpool FC bermula 22hb Jun 2017.

Salah yang menyarung jersi bernombor 11 itu mencetak gol ke-250 ketika turun melayan kunjungan Aston Villa di Anfield dalam saingan Premier League (PL) pada awal pagi Ahad (waktu Malaysia).

Jaringan itu hadir ketika masa tambahan pada separuh masa pertama dimana Salah mengambil peluang dengan pantas atas kesilapan yang dilakukan penjaga gol lawan, Emiliano Martinez.

Gol itu membantu kelab berpangkalan di Merseyside terbabit mencatatkan kemenangan 2-0 sekaligus menceriakan kembali penyokong Liverpool selepas mengharungi episod kedukaan susulan merekodkan lima kekalahan daripada enam perlawanan lalu.

Secara pecahannya, Salah kini telah menjaringkan 188 gol dalam saingan Premier League, 46 dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA (UCL), 5 gol dalam pertandingan Liga Europa, 6 gol dalam Piala FA, 4 gol dalam Piala Liga dan 1 gol dalam Perisai Komuniti.

Nama Salah kini sebaris dengan Ian Rush dan Roger Hunt, penjaring kedua dan terbanyak Liverpool sepanjang zaman, yang mencetak 250 gol bersama The Kops.

Bagaimanapun, catatan 250 gol Salah masih mengekalkannya sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman bersama Liverpool. Salah perlu meledak 36 gol lagi sekiranya ingin meletakkan namanya selaku penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman buat Liverpool.

Feature Image: Liverpool FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd