Kpah Sherman Lega Cetak Gol Sulung Musim 2025-26
Hafiz Omar

Penjaring terbanyak Piala Malaysia 2022, Kpah Sherman mengakui menanti agak lama untuk mencetak gol sulungnya bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Liga Malaysia 2025-26.
Bagaimanapun, kemarau jaringan pemain berusia 33 tahun itu menemui titik noktahnya selepas menjelmakan gol ketika Kelantan The Real Warriors di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Gol itu menjelma pada minit ke-65 selepas Kpah menyempurnakan bola yang dihantar cantik oleh Safawi Rasid untuk meletakkan KL City mendahului 1-0 di hadapan.
“Dia (Safawi) sentiasa cuba nak bantu saya menjaringkan gol dalam setiap sesi latihan dan akhirnya kita berjaya melakukannya dalam perlawanan ini, jadi terima kasih untuk Safawi atas hantaran itu untuk saya menjaringkan gol pertama musim ini.”
“Saya juga berbangga dengan semua rakan sepasukan, barisan kejurulatihan sebab tak mudah untuk kita konsisten menang tanpa tewas dalam 8 perlawanan setakat ini.
“Sebagai penyerang, apatah lagi di kelab baharu, saya mengaku untuk dapatkan gol pertama adalah paling susah dan ia satu pengalaman untuk saya terus ada motivasi seperti ini bagi cuba bantu pasukan dalam aksi-aksi lain pula,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Kpah dari Liberia menjaringkan gol dalam kancah bola sepak Malaysia adalah ketika bersama Sri Pahang FC bertemu PDRM FC pada Mac lalu sebelum berhijrah menyertai KL City.
Featured Image: KL City FC