Lee Zii Jia Tarik Diri Masters Kumamoto 2025

November 4, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kelibat dan aksi bekas perseorangan badminton lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia di kejohanan antarabangsa nampaknya tidak kelihatan lagi dalam masa terdekat.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka tampil dalam saingan Masters Kumamoto 2025 yang dijadualkan 11hb hingga 16hb November hadapan selepas menarik diri daripada Terbuka Denmark 2025, Terbuka Perancis 2025 dan Terbuka HYLO 2025 sepanjang bulan lalu.

Namun begitu, semakan di laman rasmi pertandingan Masters Kumamoto 2025 memperlihatkan namanya berada dalam senarai penarikan diri bagi kejohanan berstatus Super 500 itu.

Sebelum ini, Zii Jia terpaksa menarik diri daripada tiga kejohanan utama dalam siri Jelajah Dunia BWF sepanjang Oktober selepas dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk menjalani program pemulihan lanjutan berikutan sakit di bahagian belakangnya.

Perkembangan ini menyaksikan saingan Masters China 2025 yang berlangsung sekitar pertengahan September menjadi penampilan terakhir Zii Jia di kejohanan antarabangsa setakat tahun ini.

Pada masa yang sama, laman rasmi pertandingan Masters Kumamoto 2025 turut menyaksikan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik; beregu wanita No.2 negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing serta beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut menarik diri.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd