Hukuman FIFA ‘Bermotif Politik’ – Tunku Mahkota Ismail
Hafiz Omar

Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menganggap hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain ‘berketurunan’ Malaysia sebagai ‘bermotif politik’.
Baginda yang juga merupakan mantan Presiden FAM melabelkan hukuman yang dikenakan kepada pemain-pemain itu tidak berasaskan undang kerana pelanggaran Artikel 22 dalam Kod Tatatertib FIFA tidak terpakai kepada para pemain.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.” titah baginda seperti menerusi akaun-akaun media sosial rasmi, pada hari ini.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.” tambah baginda lagi.
Terdahulu, FIFA mengumumkan menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM berkenaan pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi melibatkan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Keputusan itu menyaksikan FIFA mengekalkan hukuman mengarahkan FAM membayar sebanyak CHF350,000 (~RM1.85 juta) kepada FIFA, ketujuh-tujuh pemain tersebut dikenakan denda sebanyak CHF2,000 (~RM10,500) setiap seorang dan digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Featured Image: HRH Crown Prince of Johor