Juara UCL 15 Kali Tumbang Di Anfield

November 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Liverpool FC yang terumbang-ambing prestasinya kebelakangan ini berhasil mengejutkan juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebanyak 15 kali, Real Madrid di Anfield, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Skuad berjulukan The Reds bimbingan Arne Slot itu turun dengan kesebelasan utama yang hampir sama ketika mengalahkan Aston Villa awal pagi Ahad lalu menumbangkan Real Madrid dengan keputusan 1-0.

Jaringan tunggal terhasil menerusi tandukan Alexis Mac Allister di dalam kotak penalti pada minit ke-61 setelah menerima bola daripada sepakan percuma yang dilakukan oleh Dominik Szoboszlai.

Tandukan itu sudah memadai buat Liverpool untuk mengutip tiga mata penuh daripada aksi keempat peringkat liga UCL memandangkan Real Madrid yang dibintangi oleh Kylian Mbappe, Jude Bellingham, Vinisius Jr, Aurelien Tchouameni, Arda Guler dan lain-lain lagi gagal memburu jaringan penyamaan.

Hasil daripada kemenangan ini, Liverpool kini menempatkan dirinya di tangga keenam namun berkongsi 9 mata bersama-sama Paris Saint-Germain (PSG), Inter Milan dan Real Madrid.

Pada masa yang sama, perlawanan antara Liverpool dan Real Madrid itu turut mencipta rekod kehadiran tertinggi di Anfield dalam kejohanan eropah dengan catatan seramai 59,916 orang.

Ianya melepasi rekod kehadiran tertinggi seramai 59,816 orang yang dicatatkan semasa Liverpool menumbangkan Bologna pada musim lalu.

Namun begitu, rekod kehadiran tertinggi sepanjang masa di Anfield masih kekal dengan catatan seramai 61,905 orang ketika Liverpool bertemu Wolverhampton Wanderers dalam aksi Piala FA pada Februari 1952.

Featured Image: Liverpool FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd