Al-Sultan Abdullah Kurnia Sumbangan RM100,000 – Hargai Jasa Wira Sukan Tanah Air
Hafiz Omar

Sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa wira-wira sukan tanah air, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM100,000.
Kurniaan menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu disampaikan baginda kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri & Kebangsaan dengan nilai RM60,000 dan RM40,000 masing-masing semasa mencemar duli berangkat ke acara ‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King Of Sports’ di Stadium Merdeka, pada Rabu.
Acara simbolik anjuran YASA bersama Shekhinah PR itu menghimpunkan lebih 150 tetamu jemputan termasuk legenda-legenda sukan dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Antara yang hadir adalah bekas ratu terjun negara, Datuk Leong Mun Yee; bekas kapten hoki lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin; dan bekas pelari pecut wanita, Shanti Govindasamy.
Selain itu, acara itu turut dihadiri bekas kapten pasukan ragbi kebangsaan dan Selangor era 1970-an dan 1980-an, Jagjit Singh; dua legenda bola sepak tanah air iaitu Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann; serta jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek.
Inisiatif diraja itu turut mendapat sokongan Bata serta rakan strategik yang lain seperti FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika dan Prince Court Medical Centre.