Adidas Dedah Jersi ‘Home’ 22 Negara Menjelang Piala Dunia FIFA 2026
Hafiz Omar

Jenama pengeluar kit bola sepak global, Adidas tampil mendedahkan jersi persalinan ‘home’ bagi 22 skuad kebangsaan pada hari ini – 217 hari sebelum bermulanya Piala Dunia FIFA 2026.
Koleksi itu melibatkan persalinan buat skuad kebangsaan yang telah melayakkan diri ke Piala Dunia seperti Algeria, Argentina, Colombia, Japan, Mexico, Qatar dan Arab Saudi.
Selain itu, koleksi itu turut terdiri daripada persalinan buat pasukan-pasukan yang masih memburu kelayakan seperti Belgium, Costa Rica, Jerman, Hungary, Italy, Northern Ireland, Scotland, Sepanyol, Sweden, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu dan Wales.
Tidak ketinggalan ia turut merangkumi persalinan buat Chile, Peru dan Venezuela – yang akan menyarung jersi baharu untuk aksi perlawanan antarabangsa sepanjang tahun 2026.



Kesemua persalinan di dalam koleksi ini dilihat menggabungkan identiti bersejarah dan tradisi setiap negara serta menampilkan gaya estetik moden dan berpandangan ke hadapan.
Ini dapat dilihat dengan ketara pada rekaan jersi Argentina, Jerman, Itali, Jepun, Mexico dan Sepanyol – yang mengekalkan warna dan rekaan tradisi yang cukup sinonim dengan pasukan-pasukan itu.
Menurut Adidas, terdapat perincian halus yang diletakkan pada setiap jersi-jersi itu yang bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada kegemilangan kejohanan ini – termasuk pengiktirafan terhadap rekaan jersi bersejarah, imbauan kemenangan lalu dan tarikh-tarikh bersejarah – dapat dilihat tatkala melihatnya dengan dekat.
Tambah Adidas lagi, kesemua persalinan daripada koleksi tersebut, menggunakan teknologinya direka khusus untuk prestasi tinggi, dibuat untuk membantu pemain-pemain berkelas dunia menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan termasuk cuaca panas ekstrem yang akan dialami di tiga negara hos – Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.