Arif Aiman Kini Raja ‘Assist’ JDT Sepanjang Zaman
Hafiz Omar

Pemenang Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Mohd Hanapi kini bergelar raja “assist” sepanjang zaman buat Johor Darul Ta’zim (JDT).
Penyerang sayap lincah berusia 23 tahun itu meraih gelaran berkenaan selepas mencipta dua bantuan gol ketika JDT bertemu Shanghai Shenhua dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada Rabu.
Kedua-dua bantuan gol itu diberikan kepada bek kiri kelahiran Argentina, Jonathan Silva pada minit ke-48 dan ke-87 yang membantu JDT meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas kelab Liga Super China itu.
Dua bantuan gol itu membolehkan Arif merekodkan 70 bantuan gol sepanjang bersama JDT sekaligus mengatasi 68 bantuan gol yang direkodkan oleh Safiq Rahim – raja “assist” buat JDT sepanjang zaman sebelum ini.
Selain daripada bergelar sebagai raja “assist”, Arif juga merupakan penjaring tempatan terbanyak buat JDT dengan catatan 62 gol.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers