Cklamovski Panggil Matt Davies, Ryan Lambert Menjelang Aksi Bertemu Nepal

November 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertahanan kanan, Matt Davies dan pemain tengah, Ryan Lambert menjadi muka baharu yang disenaraikan oleh ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski untuk menyertai kem latihan pusat menjelang aksi bertemu Nepal.

Selain dua pemain tersebut, pengendali dari Australia itu turut memanggil seorang lagi pemain daripada skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Aliff Izwan Yuslan selain daripada Muhammad Ubaidullah Shamsul bagi menyertai kem latihan pusat yang akan bermula 10hb November (Isnin) kelak.

Selebihnya, Cklamovski mengekalkan 24 pemain daripada skuad menentang Laos bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 9hb dan 14hb Oktober lalu termasuk tiga pemain yang beraksi di luar negara – Dion Cools (Cerezo Osaka), Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City Police) dan Sergio Aguero (Kanchanaburi Power).

Sementara itu itu, 11 pemain yang terdiri daripada Hong Wan (Johor Darul Ta’zim), Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba (KL City FC), Kalamullah Al-Hafiz (Selangor FC), Safwan Mazlan, Shahrul Nizam, Suhaimi Husin, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Adib Ra’op (Penang FC), Wan Kuzain (St. Louis City) dan Lukman Hakim (Negeri Sembilan FC) diletakkan dalam Senarai Bersedia.

Untuk makluman semua, skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat sehingga 17hb November sebelum turun menghadapi Nepal bagi aksi kelima peringkat Kumpulan F pada 18hb November (Selasa) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Pada saat ini, Malaysia berada di puncak Kumpulan F dengan pungutan 12 mata hasil daripada merekodkan empat kemenangan berturut-turut daripada empat perlawanan.

Featured Image: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd