Masters Korea: Jimmy-Pei Jing Melangkah Ke Separuh Akhir
Hafiz Omar

Beregu campuran yang bergerak secara bersendirian, Jimmy Wong dan Lai Pei Jing berhasil mencetak kemaraan ke peringkat separuh akhir buat kali kesembilan daripada 13 kejohanan yang disertai setakat tahun ini.
Gandingan pemain berusia 23 dan 33 tahun berkenaan mengesahkan kemaraan terbarunya ke peringkat separuh akhir di Masters Korea 2025 susulan menumpaskan wakil Thailand yang menghuni ranking ke-150, Phuwanat Horbanluekit dan Benyapa Aimsaard sebentar tadi.
Pertemuan di suku akhir itu menyaksikan Jimmy-Pei Jing, pilihan ketiga kejohanan, mencetak kemenangan bergaya ke atas Horbanluekit-Aimsaard menerusi skor 21-10 dan 21-12 dalam masa tidak sampai setengah jam.
Kemenangan itu sekaligus membawa mereka bertemu pasangan tuan rumah yang menduduki ranking ke-213 dunia, An Yu Seong dan Lee Yu Lim untuk merebut tiket ke perlawanan akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 300 ini.
Mereka melangkah ke separuh akhir susulan mengejutkan beregu Jepun yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan, Akira Koga dan Hina Osawa menerusi skor 21-16, 23-25 dan 21-18 dalam masa melebihi 70 minit permainan.
Untuk makluman semua, gandingan Jimmy-Pei Jing berhasil melakar enam kemenangan daripada lapan pertarungan di peringkat separuh akhir sebelum ini sekaligus melangkah ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, Jimmy-Pei Jing kempunan untuk bergelar juara berikutan tewas dalam keenam-enam perlawanan akhir terbabit.