Masters Korea: Weijie-Sheng Hao Kandas Suku Akhir
Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki kelapan negara, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao kempunan untuk melangkah ke separuh akhir Masters Korea 2025.
Ianya gara-gara pasangan yang berada di ranking ke-48 dunia itu gagal menjinakkan beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi dan Presley Smith ketika bertembung di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Dalam pertarungan yang julung kalinya menemukan kedua-dua beregu berkenaan, Weijie-Sheng Hao tewas dua set berturut-turut menerusi skor 15-21 dan 15-21 dalam masa 34 minit.
Keputusan itu menyaksikan Weijie-Sheng Hao mengulangi episod kandas di suku akhir di kejohanan Masters Indonesia II 2025 yang berlangsung sekitar dua minggu lalu.
Sementara itu, Zhi Yi-Presley yang turut diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan yang mencetak kemenangan meraih tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Menantinya di peringkat itu adalah beregu Indonesia yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin.