Terengganu FC Rancang Tandatangan Pemain Baharu Pertengahan Musim – Tingkatkan ‘Squad Depth’

November 10, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Peminat-peminat Terengganu FC boleh menjangkakan kehadiran beberapa pemain baharu akan membarisi skuad bimbingan Badrul Afzan pada jendela perpindahan pertengahan musim yang bakal membuka tirai pada 5hb Januari kelak.

Perkembangan itu hadir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai mengesahkan pihaknya telah membincangkan perkara tersebut dalam Jawatankuasa Teknikal selain mencadangkannya kepada pihak Lembaga Pengarah.

Difahamkan, perkara tersebut dirancang bagi meningkatkan lagi “squad depth” – satu kekurangan yang diperhatikannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu.

 Akan tetapi, Shaikh Farouk bertindak mengunci mulut mengenai calon-calon, latar belakang pemain dan posisi yang akan ditandatangani Terengganu FC pada jendela perpindahan terbabit.

“Insya-Allah saya rasa kita tengah lihat dalam masa (ini) 2-3 orang (pemain), buat masa ini kita terbuka, ada senarai pemain dari eropah dan asia serta tempatan,”

“Buat masa ini kita lihat kepada semua (posisi) kerana saya tengok ‘squad depth’ adalah amat penting dan beberapa perlawanan dalam masa 2-3 bulan ini kita lihat ‘squad depth’ Terengganu FC agak kurang,” 

“Jadi kita melihat kepada penyerang, pemain tengah dan juga pertahanan, saya tak nak cakap (secara) khusus kepada sesuatu posisi, kita terbuka kepada sebarang calon itu, tetapi yang paling penting siapapun pemain berikut boleh masuk dan ‘bonding’ dengan ‘team’ dan pasukan Terengganu FC,” katanya ketika ditemu bual oleh pihak media selepas Majlis Pengumuman Mills Sebagai Rakan Strategik “Footwear” Rasmi Terengganu FC di ibu negara, hari ini.

Pada saat ini, Terengganu FC mempunyai skuad senior yang dianggotai 28 pemain dengan penyertaan tujuh pemain import – Diego Landis, Gabriel Costa, Nurillo Tukhtasinov, Yann Mabella, Junior Ngong, Kyaw Min Oo dan Rainderson Da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca. 

Untuk pengetahuan semua, jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan dibuka selama 27 hari dan akan ditutup pada 1hb Februari 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd