Kasut Mills Akan Dijual Di TFC Direct – Jana Pendapatan Untuk Kelab
Hafiz Omar

Jenama pakaian dan barangan sukan dari Indonesia, Mills dan kelab bola sepak Liga Super, Terengganu FC tidak sekadar memeterai perjanjian penajaan tipikal sepertimana dilakukan dalam arena bola sepak tempatan.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menjelaskan ianya merupakan satu kerjasama strategik yang turut menjadikan Terengganu FC sebagai rakan jualan kepada Mills.
Kerjasama itu membolehkan kasut-kasut keluaran Mills dijual oleh kedai rasmi kelab, TFC Direct, kepada para peminat dan penyokong agar dapat meningkatkan pendapatan Terengganu FC.
“Pertama sekali saya tidak menggunakan perkataan sponsor (tajaan), untuk saya, ini merupakan strategic partnership (kerjasama strategik), sebab kita bukan sahaja nak menerima sponsorship (penajaan) tetapi kita nak melihat daripada (sudut) jangka masa panjang,”

“Terengganu FC juga menjadi rakan jualan kepada Mills, jadi kita akan jual juga kasut Mills ni dalam kita punya kedai, TFC Direct di Kuala Terengganu, jadi dia akan memberi pendapatan kepada kelab,”
“Ini salah satu perancangan baharu saya bawa (ke) Terengganu FC supaya kelab (dapat) menjana pendapatan dengan sendiri,” jelasnya kepada pengamal media di Majlis Pengumuman MILLS Sebagai Rakan Strategik “Footwear” Rasmi Terengganu FC, pagi tadi.
Pada masa yang sama, Sheikh Farouk tidak menolak sebarang kemungkinan untuk Mills mengeluarkan kasut sukan atau but bola sepak edisi Terengganu FC untuk dijual kepada para peminat dan penyokong di masa hadapan.
Sebahagian daripada kerjasama itu menyaksikan pemain-pemain Terengganu FC – skuad senior, skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad bawah 17 tahun, skuad bawah 15 tahun dan skuad bawah 12 tahun – akan menyarung dan menggayakan kasut sukan serta sebahagiannya but bola sepak keluaran Mills sehingga berakhirnya musim 2025-2026.