Lee Zii Jia Tidak Pertahan Kejuaraan Terbuka Australia
Hafiz Omar

Bekas perseorangan badminton lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia nampaknya tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia – Jelajah Dunia BWF Super 500 – yang dimenangi pada tahun lalu.
Perkembangan itu hadir selepas semakan di laman rasmi kejohanan itu menunjukkan nama pemain berusia 27 tahun berkenaan berada dalam senarai penarikan diri bagi kejohanan tahun ini.
Kejohanan yang menawarkan ganjaran wang tunai terkumpul sebanyak AS$475,000 (~RM1.98 juta) itu dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan – bermula 18hb November dan berakhir pada 23hb November.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Zii Jia menarik diri daripada siri kejohanan Jelajah Dunia BWF selepas turut menarik diri daripada saingan Masters Kumamoto Jepun 2025 yang berlangsung pada minggu ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia dilihat beraksi di atas gelanggang adalah di Masters China 2025 yang berlangsung sekitar pertengahan September lalu sebelum pasukannya, Team LZJ, memaklumkan Zii Jia tidak akan menyertai Terbuka Denmark 2025, Terbuka Perancis 2025 dan Terbuka HYLO 2025.
Pada edisi lalu, Zii Jia merangkul gelaran juara di Terbuka Australia hasil menumpaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka dalam perlawanan akhir menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 11-21 dan 21-18 dalam masa 78 minit.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia